بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ

PENGENALAN

Dalam landskap ekonomi semasa, masyarakat Muslim di Malaysia masih berdepan pelbagai cabaran dari sudut pemilikan kekayaan, keusahawanan, penguasaan rantaian bekalan, serta penglibatan dalam sektor strategik ekonomi negara. Meskipun terdapat pelbagai inisiatif terdahulu, kebanyakannya dilaksanakan secara berasingan, tidak menyeluruh, dan kadangkala bergantung sepenuhnya kepada sokongan kerajaan semata-mata.

Pelan Perlaksanaan Pemerkasaan dan Transformasi Ekonomi Muslim (3PTEM) diwujudkan sebagai satu usaha kolektif dan berkecuali yang digerakkan oleh individu, organisasi dan entiti ekonomi Muslim secara bebas daripada pengaruh politik dan birokrasi kerajaan. Matlamatnya adalah untuk membina ekosistem ekonomi Muslim yang mampan, tersusun, dan berdaya saing melalui pendekatan berjamaah yang terancang.

Pelan ini menekankan prinsip halalan toyyiban, pemberdayaan komuniti (community empowerment), serta penggunaan teknologi digital sebagai pemangkin kepada transformasi menyeluruh dalam sektor ekonomi umat Islam. Ia memberi fokus kepada penglibatan semua peringkat – daripada usahawan mikro sehingga ke pemain industri besar – dalam satu gerakan ekonomi Islam yang berstruktur dan bersatu.

3PTEM bukan hanya pelan pembangunan ekonomi, tetapi merupakan gerakan kesedaran, tindakan bersepadu, dan strategi jangka panjang untuk memastikan umat Islam di Malaysia kembali menguasai ruang ekonomi dengan cara yang adil, beretika, dan lestari.